PENGERUSI Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AU) pada Sabtu mengalu-alukan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Israel untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Dalam satu kenyataan, Moussa Faki Mahamat, bekas perdana menteri Chad berkata, badan benua itu mengalu-alukan langkah sementara segera yang diperintahkan oleh ICJ dalam permohonan yang dibawa oleh Afrika Selatan.
Beliau berkata, keputusan itu menjunjung penghormatan undang-undang antarabangsa dan keperluan untuk Israel mematuhi tanggungjawabnya di bawah Konvensyen Genosid, lapor Anadolu.
AU ialah kesatuan benua yang terdiri daripada 55 negara anggota yang terletak di benua itu.
Afrika Selatan membawa Israel ke ICJ yang berpangkalan di The Hague pada 29 Disember atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin, dan kes itu dibicarakan awal bulan ini.
Pada Jumaat, mahkamah dunia itu mendapati dakwaan Afrika Selatan bahawa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai adalah munasabah.
Mahkamah mengeluarkan perintah sementara menggesa Israel berhenti menghalang penghantaran bantuan ke Gaza dan memperbaiki keadaan kemanusiaan.