IMPIAN seorang wanita untuk mendirikan rumah tangga musnah, selepas diperdayakan oleh teman lelakinya selama enam tahun.
Wanita dengan nama samaran Zhang yang berasal dari wilayah Zhejiang, China itu mengakui bahawa, dia berasa marah dan kecewa selepas diperbodohkan teman lelakinya yang dikenali sebagai Yu.
Episod penipuan bermula
Apabila Zhang menjalinkan hubungan bersama Yu pada 2017, wanita itu mengetahui bahawa kekasihnya memiliki banyak hutang, selepas lelaki tersebut memberitahu perniagaannya mengalami kegagalan.
Disebabkan rasa sayang terhadap kekasihnya, Zhang yang menjalankan perniagaan hotel sanggup menghulurkan bantuan kewangan.
“Saya terus menyokongnya dan memberitahunya bahawa kami bersama-sama akan membayar hutang tersebut,” katanya seperti dilapor South China Morning Post.
Oleh itu, dia terpaksa menghabiskan hayatnya selama lima tahun semata-mata untuk membayar hutang teman lelakinya sebanyak satu juta yuan (RM666,800).
Wanita itu membantu membayar hutang teman lelakinya sebanyak 200,000 yuan (RM133,000) dalam tempoh setahun, sebelum jumlah sama dibayar pada setiap tahun untuk empat tahun lagi.
Hutang tersebut berjaya dilunaskan pada Februari 2022.
Bayar wang tebusan
Ketika Zhang mula berasa teruja untuk meneruskan hubungan dengan teman lelakinya tanpa sebarang hutang, wanita itu sebaliknya menerima kejutan yang tidak diingini.
Yu memberitahunya bahawa dia dan seorang lelaki lain dikenali sebagai Xiaohei, yang terlibat dengan kumpulan pengedaran senjata dan dadah telah ditangkap dan dijadikan tebusan.
Xiaohei memberitahu Zhang bahawa jika wanita itu tidak membayar wang tebusan sebanyak AS$140,000 (RM662,000), kekasihnya akan dibunuh.
Gerun dengan ugutan itu, Zhang tanpa teragak-agak terus membayar wang tebusan tersebut.
Teman lelaki didakwa meninggal dunia
Dia yang kemudian berharap agar Yu pulang ke pangkuannya tidak menjadi kenyataan, apabila lelaki itu memberitahu kononnya dia memerlukan rawatan perubatan untuk menyelamatkan nyawanya.
Wanita yang mudah tertipu itu terus mempercayai kata-kata tidak masuk akal daripada lelaki tersebut.
Pada Oktober tahun lalu, Yu yang menyamar sebagai Xiaohei menghubungi Zhang bahawa kekasihnya sudah meninggal dunia serta memintanya untuk memadamkan rekod perbualan dengan lelaki itu.
Zhang yang berasa sedih dengan berita itu hanya menurut tanpa banyak bicara.
Tidak beberapa lama kemudian, Zhang yang berasa curiga melaporkan kematian Yu kepada pihak polis.
Dua bulan kemudian, Zhang mendapati Yu masih hidup dan sihat, namun lelaki itu sebaliknya didapati menjalinkan hubungan dengan wanita lain yang ditemui sejak Oktober tahun lalu.
Apabila pihak polis tiba di kediaman Yu untuk menangkapnya, lelaki ditemui bersembunyi di bawah timbunan selimut dan pakaian dalam almari.
Yu kemudian berdepan pertuduhan melakukan penipuan.