HomeTeknologiNASA buka peluang hantar nama ke bulan

NASA buka peluang hantar nama ke bulan

PENTADBIRAN Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) kini menawarkan peluang kepada orang ramai untuk mengukir nama di bintang sebagai sebahagian misi seterusnya ke bulan.

Kenderaan robotik NASA, VIPER dijangka mendarat di bahagian kutub selatan bulan yang belum diterokai pada akhir tahun ini, lapor Sky News.

Menerusi misi itu, VIPER akan membongkarkan misteri air serta mengkaji persekitaran rantau bulan bagi memudahkan perancangan NASA menghantar angkasawan.

Bersama beberapa instrumen saintifik lain, kenderaan robotik itu juga akan membawa senarai nama individu, yang berpotensi berjuta-juta orang.

Malah, kesemua individu itu juga akan diberikan cenderahati pas masuk sekali gus menjadi sebahagian perjalanan berisiko itu.

Pentadbir bersekutu ibu pejabat NASA, Nicola Fox berkata, pihaknya akan mengkaji dan meneroka beberapa bahagian permukaan bulan yang belum pernah dikunjungi siapapun sebelum ini dengan menggunakan VIPER.

“Bayangkan, nama anda akan berada bersama VIPER semasa merentasi bentuk muka bumi yang bergelombang dan kasar di kutub selatan bulan.

“Kenderaan robotik itu juga akan data penting yang akan membantu kami memahami sejarah bulan dengan lebih baik,” katanya.

Laporan sama turut menyatakan individu yang berminat untuk menghantar nama mereka perlu berbuat demikian sebelum 15 Mac depan.

Bagaimanapun, setakat ini NASA masih belum memaklumkan cara kenderaan robotik itu akan membawa nama individu terlibat.

Sebelum ini, misi serupa dengan bulan Musytari Europa menyaksikan senarai nama individu distensil dengan pancaran elektron pada cip silikon sebesar syiling lima pence.

Author

Pilihan Editor