HomeBeritaPekerja warga asing maut terkena renjatan elektrik

Pekerja warga asing maut terkena renjatan elektrik

GEORGE TOWN: Seorang pekerja warga asing maut akibat terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja-kerja pemasangan saluran udara dan paip di sebuah tapak pembinaan di sini, kelmarin.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang berkata, mangsa terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja-kerja kimpalan menggunakan ‘scissor lift’ kira-kira pukul 9.45 pagi.

Maklum JKKP Pulau Pinang lagi, satu notis pemberhentian kerja serta-merta di tapak pembinaan tersebut sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Sepasukan pegawai penyiasat JKKP telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kes kejadian kemalangan tersebut.

”Daripada siasatan awal yang dijalankan mendapati, mangsa merupakan pekerja subkontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan “ducting’ dan ‘piping’ di tapak pembinaan tersebut,” katanya memetik Utusan pada Isnin.

Menurutnya, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri oleh rakannya yang menyedari mangsa telah tergantung di atas ‘scissor lift’.

‘Rakan sekerjanya telah membawa mangsa keluar dari tapak pembinaan tersebut, namun dia disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pihak Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati mangsa terkena renjatan elektrik,” jelasnya.

JKKP turut mengarahkan majikan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKPP.

Malah, JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti selain lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

Tegasnya, menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

“Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor