SEORANG atlet berusia 52 tahun yang merokok tanpa henti sepanjang maraton di China telah dibatalkan kelayakan secara retroaktif selepas penganjur perlumbaan menyatakan tindakannya melanggar peraturan kerana ianya tingkah laku tidak beradab.
Perokok tanpa henti itu, yang dikenal pasti dalam laporan media sebagai ‘Pak Cik Chen’, menamatkan maraton Xiamen pada 7 Januari dalam masa yang agak hebat iaitu tiga jam dan 33 minit.
Pencapaiannya dianggap luar biasa selepas rakaman video dari perlumbaan menunjukkan Chen menghisap rokok ketika dia mengharungi laluan sejauh 26.2 batu untuk menduduki tempat ke-574 daripada lebih 1,500 pesaing.
Walau bagaimanapun, imej-imej itu – yang tular dengan cepat dalam talian – menjejaskan pencapaian Chen dan seterusnya menyebabkan dia hilang kelayakan. Pihak penganjur perlumbaan menyatakan bahawa tindakannya semasa acara itu melanggar peraturan yang berkaitan “tingkah laku tidak beradab”, yang melarang pelari daripada pelbagai aktiviti – daripada membuang air besar di trek hingga memijak hamparan bunga.
“Tingkah laku tidak beradab daripada pelari seperti membuang air besar secara terbuka, merokok, atau memijak hamparan bunga atau kawasan hijau yang menjejaskan perlumbaan dan keselamatan pelari lain akan mengakibatkan kehilangan kelayakan,” kata artikel 2.12 peraturan Marathon Xiamen.
Peraturan itu dilaksanakan tahun lepas oleh Persatuan Olahraga Cina (CAA) sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu menggalakkan persaingan sihat dalam masyarakat China dan untuk tidak menggalakkan merokok semasa aktiviti olahraga.
Chen, yang mendapat jolokan ‘Abang Merokok’, sebelum ini mendapat perhatian kerana tabiat merokoknya, dengan gambar dia merokok semasa Marathon Guangzhou turut muncul dalam talian. Dia menamatkan perlumbaan itu dalam masa tiga jam dan 35 minit – tiga minit lebih perlahan daripada masanya di Xiamen awal bulan ini.
Setahun kemudian, Chen yang merokok tanpa henti menamatkan perlumbaan Xiamen – kali ini dalam masa tiga jam dan 32 minit. Anehnya, tercatat dalam laporan tempatan di China bahawa Chen hanya merokok semasa maraton – dan tidak merokok ketika tiada pertandingan.
Tabiat merokok Chen nampaknya tidak mengekang kehebatannya dalam sukan. Penerbitan Kanada ‘Running Magazine’ mencatatkan bahawa dia telah bertanding dalam beberapa ultramaraton, dari jarak 50km (31 batu) hingga ke tempoh 12 jam.
Merokok adalah perkara biasa di China, dengan kira-kira 300 juta perokok – hampir satu pertiga daripada jumlah keseluruhan dunia. Lebih separuh daripada lelaki China adalah perokok, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – RT