HomeBeritaViralPemilik tapak glamping perjelas isu lelaki serang warga emas di Tanjung Kling

Pemilik tapak glamping perjelas isu lelaki serang warga emas di Tanjung Kling

SEORANG lelaki didakwa menyerang seorang wanita warga emas dalam kejadian di sebuah tapak glamping dekat Tanjung Kling, Melaka baru-baru ini.

Video berdurasi 30 saat itu memaparkan, lelaki bertopi dan berbaju biru yang dipercayai pemilik tapak glamping tersebut dilihat menampar wanita tersebut bertubi-tubi, sebelum merampas sebatang kayu yang dipegangnya.

Wanita berbaju ungu dan berseluar merah yang tidak mampu menepis serangan itu sebaliknya dilihat berlalu pergi dari lokasi kejadian, yang berlaku pada kira-kira jam 12.58 tengah hari Ahad.

Cucu wanita warga emas berang

Sementara itu, cucu kepada wanita warga emas itu menerusi laman Facebook menegaskan bahawa, serangan yang dilakukan terhadap neneknya ketika bersendirian di rumah merupakan satu jenayah dan tidak boleh diterima.

“Dia menumbuk dan menendang seorang wanita berusia 80 tahun dengan sekuat tenaganya, menendang nenek ke tanah, membuat provokasi untuk menghubungi polis. Seumpama tiada undang-undang di Malaysia.

“Nasib baik ada CCTV (televisyen litar tertutup) di belakang rumah kami yang merakam keseluruhan kejadian. Walaupun tiada siapa yang melihat, Tuhan melihat segala-galanya. Saya harap polis kita dapat memandang serius perkara ini. (Walaupun dah lapor polis, tapi tak pasti tindakan),” tulis wanita dikenali sebagai Grace Tai.

Tangkap layar hantaran Grace Tai di laman Facebook.

Pada masa sama, Grace Tai menyifatkan pemilik premis tersebut sebagai tidak bertanggungjawab menangani sampah sarap, bahan buangan dan sisa pengubahsuaian sejak pembukannya.

Selain bunyi bising dan sampah yang dibuang ke belakang rumah penduduk, wanita itu berkata, perkara paling teruk yang pernah dilakukan premis berkenaan adalah dengan melupuskan sampah menerusi pembakaran terbuka pada hampir setiap hari.

“Saya tahu pembakaran terbuka adalah perkara biasa di tempat kampung, tetapi saya ingin menekankan bahawa ini bukan sedikit atau sementara, jumlah sampah dan daun yang banyak dari premis itu telah menyebabkan asap tebal meresap masuk rumah.

“Ini telah menjejaskan kehidupan seharian kami serta keadaan kesihatan nenek saya. Dari berunding dengan pemilik sejak awalnya sehingga bertengkar dengan mereka. Kami juga pernah melaporkan kes kepada Biro Alam Sekitar, namun kami hanya dimaklumkan bahawa ‘kami telah mengeluarkan surat amaran’.

“Dan ini sama sekali tidak terkesan dan tidak membantu langsung, sebaliknya hanya membenarkan tingkah laku yang lebih berleluasa daripada mereka. Malah, semua tindakan kotor ini dilakukan dengan lagi kerap sebagai dendam kerana laporan yang kami buat sebelum ini,” tulisnya.

Penjelasan lelaki bertopi

Tangkap layar hantaran lelaki berkenaan di laman Facebook.

Sementara itu, lelaki berkenaan menerusi laman Facebook pula menjelaskan bahawa, wanita warga emas yang memegang kayu tersebut dipercayai melakukan serangan terlebih dahulu terhadap neneknya.

Muhammad Amirul Fathi berkata, perkara itu menyebabkan dirinya terpaksa mengambil tindakan segera bagi melindungi neneknya.

“Alasan dia marah nenek aku sebab kemas kawasan belakang tepi pagar campside kami. Dia kata tu tanah dialah apa lah.

“Padahal tu tuan tanah orang lain dan tuan tanah tu pun berterima kasih kepada pihak kami sebab selalu kemaskan tanah dia yang selalu semak tu.

“Kalau mak korang dah nak kena bantai dengan kayu macam Cina g*** ni, boleh ke korang nak duduk tengok je dan tak buat apa-apa tindakan?” soalnya.

Penjelasan pemilik premis

Tangkap layar hantaran The Baruh Glamping di laman Facebook pada Isnin.

Menerusi video berasingan yang dimuat naik premis tersebut, wanita warga emas itu dilihat keluar dari lokasi tersebut sambil membawa sebatang kayu dan kelihatan membuat mimik muka tidak berpuas hati.

Turut kedengaran dalam video tersebut adalah kata-kata cacian terhadap wanita itu, yang  dipercayai memasuki kawasan premis berkenaan.

Tidak hanya duduk diam, premis tersebut yang dikenali sebagai The Baruh Glamping tampil mempertahankan diri.

The Baruh Glamping menjelaskan bahawa, wanita tersebut terlebih dahulu melakukan serangan terhadap pekerja warga emas berusia 70 tahun di premis tersebut.

“Jangan tengok video yang di crop. Lepas tu buat jadi mangsa keadaan. Nenek tua Cina ni pukul nenek yang bekerja di glamping kami. Nampak tak dia bawa kayu?

“Video yang pihak sana share dah crop. Tunjuk dia kena pukul, padahal pihak kami halau dia dan rampas kayu agar dia tidak pukul lagi,” tulis The Baruh Glamping di laman Facebook pada Isnin.

Tambah The Baruh Glamping, jirannya didakwa menghasut orang ramai dan membuat aduan bahawa premis tersebut membuat kotor di kawasan tersebut.

Sebaliknya, jelas premis itu, kawasan sekitar tapak perkhemahan itu dikemas agar tidak didekati sebarang haiwan demi keselamatan bersama.

“Tuduh kami buang sampah. Sampah domestik pihak majlis angkat setiap hari. Tetapi kami tetap kena maki setiap hari.

“Korang kalau hari-hari kena maki dengan jiran sebelah apa perasaan korang? Hari ini sangat melampau sampai pukul staf glamping. Kami sekadar mempertahankan diri. Berlaku pergelutan tapi video di crop agar nampak pihak jiran kami tak salah.

“Biarlah pihak polis jalankan siasatan. Kami serahkan pada pihak polis sepenuhnya. Semoga semuanya dipermudahkan,” ujarnya lagi.

Author

Pilihan Editor