HomeHiburan'Syafiq, Mimi masih berkawan'

‘Syafiq, Mimi masih berkawan’

“MEREKA masih berkawan”.

Demikian kenyataan pengurus Syafiq Kyle dan Mimi Lana, Iman Tang berhubung dakwaan pasangan pelakon itu masih bersama.

Menurut Iman, meskipun sudah membatalkan majlis pernikahan, Syafiq dan Mimi masih berhubung dengan baik.

“Walaupun tak jadi kahwin, ia tidak bermakna mereka bermusuh atau bergaduh. Ini adalah kebenaran sebab saya ada bersama ketika kejadian tempoh hari.

“Memang tiada masalah, malah hingga hari ini mereka masih berkawan. Macam hari ini mereka baru sahaja selesai sesi fotografi untuk mempromosikan baju Melayu dan baju kurung untuk satu jenama tempatan,” katanya seperti dilapor BH Online.

Bagaimanapun, Iman selaku pengurus menyatakan dia terbuka sekiranya mereka berdua kembali bersama, namun buat masa ini Syafiq dan Mimi sedang sibuk dan fokus dengan kerja.

“Ya sudah tentu saya mengalu-alukan, lagipun ia untuk kebaikan dan mendirikan masjid adalah perkara baik dalam Islam.

“Saya banyak kali makan malam bersama mereka, tapi tak pernah bertanya mengenai hala tuju hubungan dengan lebih mendalam. Ini kerana mereka sedang sibuk sekarang ini.

“Bagi saya, biar mereka fokus dengan kerja dahulu. Mungkin dalam kesibukan bekerja ada bibit cinta dan perasaan untuk kembali bersama,” ujarnya.

Baru-baru ini, Syafiq dan Mimi kelihatan memuat naik foto mereka menggayakan baju tradisional berwarna biru di Instagram Story (IGs) masing-masing.

Foto berkenaan mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat yang keliru akan status hubungan mereka berdua.

Untuk rekod, Mimi dan Syafiq sepatutnya disatukan sebagai suami isteri pada 18 Ogos tahun lalu dalam majlis pernikahan yang dirancang berlangsung di Janda Baik, Pahang.

Bagaimanapun, majlis perkahwinan itu dibatalkan atas faktor-faktor tertentu.

Author

Pilihan Editor