SEORANG lelaki memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai pegawai polis trafik dan menggalas tugas sebagai peguam.
Lapor South China Morning Post, perkara itu dibuat atas tujuan mendapatkan keadilan buat anaknya yang membunuh diri selepas didakwa didera oleh seorang guru.
Zhang Dingjie dan isterinya, Wang Beilei telah memperjuangkan keadilan buat anak tunggal mereka, Zhang Kuan sejak dua tahun lalu.
Kanak-kanak berusia 11 tahun itu dilapor membunuh diri dengan terjun dari bumbung bangunan 24 tingkat berhadapan dengan banguna sekolahnya di wilayah Jiangxi, dekat timur China pada 9 November 2021.
Kanak-kanak itu juga telah meninggalkan nota berbunyi: “Kematian saya tiada kaitan dengan ibu bapa saya, masyarakat atau negara. Ia hanya berkaitan dengan Zou, yang melakukan tindakan ganas.”
Zou merujuk kepada guru Zhang yang mengajar di kelasnya.
Tidak lama selepas kematian anak lelaki mereka, pasangan suami isteri itu menyemak rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) sekolah dan mendapati Zou berulang kali mendera anak mereka secara lisan pada hari dia meninggal dunia.
Sebelum tragedi itu, Zou telah menuduh Zhang berbohong kerana dia tidak menyerahkan kertas ujian yang sememangnya tidak pernah diterimanya.
Guru itu juga didakwa memalukan anak muridnya dengan membuat sindiran bahawa betapa miskinnya kanak-kanak itu apabila terdapat satu muka surat yang koyak dalam buku notanya.