HomeBeritaPolitikTak kebal undang-undang, Tun Daim perlu terima hakikat disiasat SPRM

Tak kebal undang-undang, Tun Daim perlu terima hakikat disiasat SPRM

CYBERJAYA: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin perlu menerima hakikat bahawa beliau tidak memiliki kekebalan terhadap undang-undang apabila disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, hal itu memandangkan SPRM menjalankan siasatan berikutan maklumat daripada Kertas Pandora yang didedahkan sebelum ini.

Sekiranya Daim disiasat, direman dan didakwa sehingga menjadi isu utama pada 2024, Mohd Puad menganggapnya sebagai perkara biasa.

“Rumah diserbu, akaun disita, satu malam ditahan di pejabat SPRM, didakwa, dibicara dan akhirnya dipenjara. Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi akan dibicara.

“Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah melalui pengalaman itu. Rakyat memang menunggu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Daim disiasat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Puad mendakwa bahawa terdapat banyak misteri berhubung kekayaan Daim yang perlu disiasat SPRM.

“SPRM kata diasatan terhadap Daim berdasarkan kertas pandora. Baru rakyat tahu dua anak Daim memiliki syarikat BVI (British Virgin Island) ketika berumur 9 dan 12 tahun.

“Banyak misteri mengenai kekayaan Daim. Apakah kandungan Kertas Pandora itu benar? Biar SPRM siasat. Kita pun hairan kenapa Daim tidak tersenarai 50 orang terkaya dalam ‘Forbes Malaysia’. Apa rahsianya?” kata Mohd Puad.

Untuk rekod, SPRM memakumkan siasatan terhadap Daim dijalankan sejak Februari tahun lalu susulan maklumat daripada Kertas Pandora yang didedahkan sebelum ini.

SPRM telah menyerahkan notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) kepada Daim pada 7 Jun lalu, yang menghendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya

Daim juga disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Author

Pilihan Editor