HomeBeritaPolitikTingkat mutu perbahasan di Dewan Rakyat, sistem eHantar boleh diguna mulai Ahad

Tingkat mutu perbahasan di Dewan Rakyat, sistem eHantar boleh diguna mulai Ahad

CYBERJAYA: Sistem eHantar yang boleh digunakan mulai Ahad ini, merupakan sebahagian usaha mendigitalkan dewan, serta meningkatkan mutu perbahasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, wakil rakyat boleh menggunakan sistem eHantar bagi menghantar pertanyaan bagi jawab lisan dan bukan lisan.

Pada masa sama, Ahli-Ahli Parlimen juga boleh menggunakan sistem itu untuk soalan waktu pertanyaan menteri (MQT) dan usul Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 17.

“Saya menyeru agar Ahli-Ahli Yang Berhormat memanfaatkan sepenuhnya sistem eHantar yang dibangunkan ini, terutamanya menjelang bermulanya Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga yang akan bermula pada 26 Februari kelak,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Johari memaklumkan, orang awam juga boleh mengakses lebih banyak ciri dalam laman web Parlimen Malaysia dalam masa terdekat.

Katanya, ia susulan penambahbaikan laman web tersebut.

Beliau menjelaskan, penambahbaikan itu termasuk sistem Penyata Rasmi atau hansard dalam portal Parlimen, yang membolehkan pengguna membuat carian terhadap data-data daripada hansard dengan lebih mudah.

Johari berkata, Galeri Awam Dewan Rakyat juga akan melalui proses naik taraf untuk mempertingkatkan pengalaman melawat orang awam di Parlimen bagi menyaksikan sidang mesyuarat Dewan Rakyat.

“Ia seperti aturan urusan mesyuarat, perbahasan dan pertanyaan di samping memahami peranan petugas-petugas Dewan Rakyat termasuk Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua, Setiausaha Dewan Rakyat, Bentara Mesyuarat, Bentara Parlimen, Pelapor dan lain-lain.

“Saya juga menggalakkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat menggunakan kemudahan penyelidikan Parlimen dengan sepenuhnya untuk mendapatkan data-data serta maklumat penting bagi melonjakkan kualiti perbahasan dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Author

Pilihan Editor