LANGKAH membawa haiwan peliharaan untuk keluar bersiar-siar merupakan antara aktiviti sihat bagi menghilangkan sebarang tekanan.
Namun, di sebalik rasa cinta terhadap makhluk itu, pemilik haiwan sepatutnya mengamalkan sikap tidak mementingkan diri sendiri serta memastikan agar ia tidak menyusahkan orang ramai pada masa akan datang.
Baru-baru ini, sebuah cawangan kedai pengeluar perkakas teknologi terkemuka, Apple Store dilihat tidak lagi eksklusif selepas dicemari najis haiwan.
Menerusi rakaman video, seekor anak babi dilihat membuang najisnya di kedai gergasi teknologi itu di sebuah pusat beli-belah dekat Rio de Janeiro, Brazil pada Isnin.
Namun, pemilik haiwan yang menyedari perkara itu hanya membiarkannya tanpa ada sebarang inisiatif untuk membersihkan najis berkenaan.
Wanita itu sebaliknya dilihat terus berjalan keluar dari premis tersebut, sambil membawa haiwan berkenaan yang diikat pada tali.
Kira-kira tujuh ketul najis dilihat bergelimpangan di atas lantai berhampiran meja pameran, lapor Mail Online.
“Dah hilang akal agaknya, tinggalkan tahi di tengah-tengah kedai,” kata seorang pelanggan ketika merakam insiden itu.
Orang ramai yang berada di dalam premis itu bukan sahaja dilihat terkejut, malah membuat mimik muka jijik serta menjauhi najis tersebut.
Video itu menjadi tular selepas penganalisis politik Brazil, Rodrigo Bethlem membuat perkongsian di laman Instagramnya.
Bethlem menyifatkan sikap wanita itu memalukan berikutan keengganan membersihkan najis haiwan peliharaannya.
“Ada yang membawa babi berjalan-berjalan di kedai Apple, tetapi masih tidak membersihkan najis haiwan itu. Manusia sakit,” tulisnya.