ISKANDAR PUTERI: Sebanyak tujuh buah kenderaan terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 5.4 Jalan Ismail Sultan menghala ke Johor Bahru di sini, lewat malam Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) menerima laporan berhubung nahas yang melibatkan dua kereta dan lima motosikal itu pada sekitar jam 9.21 malam.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Mazda di lorong kanan mengubah laluan ke sebelah kiri kerana cuba mengelak sebuah motosikal yang terbabas dan tidak dialihkan di lorong kanan.
“Sebuah kereta jenis Kia yang berada di belakang kereta jenis Mazda cuba mengelak dengan berhenti secara mengejut di bahu kanan jalan. Ini menyebabkan sebuah motosikal yang bergerak lurus tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta jenis Kia tersebut, disusuli dengan perlanggaran empat motosikal sesama sendiri yang datang dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Berikutan kemalangan itu, Rahmat berkata, dua mangsa sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Sementara itu, katanya, empat penunggang motosikal yang lain mengalami kecederaan ringan dan kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menjadi saksi atau mempunyai sebarang maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Farhan Roslen di talian 017-6304943 atau BSPT Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322.