HomeBeritaViral'Abang motor' melambung selepas kereta warga asing ubah laluan

‘Abang motor’ melambung selepas kereta warga asing ubah laluan

PEMANDUAN secara tidak berhemah oleh segelintir warga asing mengakibatkan nyawa penduduk tempatan semakin terancam di jalan raya.

Manakan tidak, ada di antara mereka yang dilihat menjadi pembuli jalan raya, apabila laluan kecemasan sewenang-wenangnya digunakan tanpa memikirkan keselamatan pengguna lain.

Jumaat lalu, seorang pemandu warga asing berusia 40-an dikesan memukul lelaki tempatan dengan tongkat, gara-gara tidak berpuas hati apabila kenderaannya dihalang menggunakan laluan kecemasan.

Pemandu yang terlibat dalam pergaduhan di Kilometer 139.6 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Pagoh, Johor itu kemudian direman selama empat hari mulai Ahad.

Pada Ahad, seorang penunggang motosikal melambung, selepas merempuh kereta dipandu warga asing yang menukar laluan secara tiba-tiba di Kilometer 123.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah Yong Peng, Batu Pahat, Johor.

Nahas yang berlaku pada jam 1.45 tengah hari membabitkan kereta dan motosikal itu tular di media sosial ketika ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, siasatan awal mendapati, pemandu kereta berkenaan mengubah laluan secara tiba-tiba dari kiri ke lorong kecemasan.

Beliau berkata, penunggang motosikal yang datang dari arah belakang gagal mengelak lalu terlanggar bahagian kiri kereta berkenaan.

“Kejadian itu dimuat naik pada jam 5.49 petang (Ahad) di media sosial.

“Pemandu warga asing berusia 52 tahun itu sudah membuat laporan di Balai Polis Yong Peng pada jam 5.20 petang, manakala penunggang motosikal belum berbuat demikian.

“Kita harap penunggang terbabit tampil membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Author

Pilihan Editor