PELAKON dan usahawan, Fazura merestui anaknya, Nur Fatima Aisya sekiranya bercita-cita menjadi seorang pelakon.
Menurut Fazura atau Nur Fazura, 41, dia akan sentiasa menjadi ibu yang menyokong minat anaknya.
Bagaimanapun, pelakon filem Pendekar Awang itu mengakui amat bimbang dengan cabaran dan rintangan yang perlu dilalui Fatima sekiranya dia benar-benar mahu menceburi bidang industri hiburan.
“Sejujurnya bidang seni ini bukanlah kerjaya mudah dan seindah seperti yang disangka.
“Saya risau sebenarnya jika Fatima terbabit dalam bidang seni suatu hari nanti,” katanya, memetik portal HibGlam.
Namun, Fazura percaya bahawa Fatima kuat untuk menjalani cabaran tersebut memandangkan anak kesayangannya itu berjiwa kental.
“Saya rasa dia boleh berdepan dengan cabaran dalam bidang seni. Kalau saya ‘kak long’ (kuat), dia lagi kak long daripada saya.
“Fatima seorang anak yang kuat. Saya rasa dia boleh berdepan dengan cabaran dalam bidang seni,” ujarnya.
Ditanya mengenai kecaman netizen, Fazura akui kurang yakin sama ada dia mampu berdepan dengan hentaman dan kritikan membabitkan anaknya.
“Cuma saya takut tidak boleh berdepan dengan hentaman dan kecaman netizen terhadap Fatima apabila dia terbabit dalam bidang seni nanti.
“Namun terpulang, saya sokong apa sahaja yang dia mahu lakukan. Sekarang pun saya sudah nampak minatnya dalam bidang seni.
“Fatima pun dah mula terbabit dengan iklan. Darah seni memang ada dalam dirinya. Pada masa hadapan, jika dia mahu berlakon sudah tentu saya akan sokong,” ungkapnya.
Untuk rekod, Fazura mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Fattah pada 27 November 2017 dan dikurniakan Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun.