HomeGlobalHotel Switzerland larang pelanggan Yahudi sewa peralatan ski

Hotel Switzerland larang pelanggan Yahudi sewa peralatan ski

 

SEBUAH hotel di Gunung Pischa di Davos, Switzerland mengumumkan bahawa ia tidak lagi menyewakan peralatan ski dan sukan salji kepada pelanggan Yahudi atas alasan sikap mereka yang buruk, merosakkan harta benda dan mencuri. Akibatnya, hotel itu menghadapi tuduhan anti-semitisme hingga disiasat oleh polis.

Notis itu kelihatan pada hujung minggu pada pintu bilik yang digunakan untuk menyimpan peralatan ski pusat peranginan itu. Notis dalam bahasa Ibrani itu secara terang-terangan melarang tetamu Yahudi menggunakan peralatan berkenaan, lapor RT.

“Susulan beberapa kejadian yang tidak diingini, termasuklah kecurian kereta luncur, kami tidak lagi menyewakan peralatan sukan kepada saudara Yahudi kami. Ini termasuklah semua peralatan seperti kereta luncur, airboards, kayu ski, dan kasut salji. Terima kasih kerana memahami,” tulis notis itu.

Pada Isnin, polis tempatan mengesahkan kepada harian 20 Minuten bahawa mereka sudah menyiasat perkara itu dan hotel berkenaan atas tuduhan diskriminasi dan mencetuskan kebencian.

Hotel itu bagaimanapun tetap dengan pendiriannya, sambil menjelaskan bahasa keputusan itu diambil kerana sikap buruk yang sudah lama ditunjukkan oleh Yahudi Ortodoks di pusat peranginan itu.

“Kami tidak lagi mahu menghadapi masalah itu setiap hari, oleh itu kami melaksanakan hak kami untuk menentukan kepada siapa kami akan sewakan harta kami dan kepada siapa yang kami tidak akan sewakan.

“Keputusan ini tidak ada kena mengena dengan kepercayaan, warna kulit atau pilihan peribadi. Ada dari kalangan tetamu ini cenderung untuk menyebabkan kemalangan serius,” katanya kepada 20 Minuten dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, tetamu seperti itu sering membuang peralatan di cerunan gunung, bukannya memulangkannya semula serta mengambil peralatan dari bilik simpanan tanpa kebenaran dan pelbagai lagi perlakuan buruk.

Author

Pilihan Editor