KUALA LUMPUR: Institut pengajian tinggi (IPT) tempatan disaran untuk mengkaji keperluan mewujudkan fakulti dan jabatan baharu, yang mempunyai kaitan dengan perkembangan terkini dunia Kecerdasan Buatan (AI).
Hal ini kerana, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, AI merupakan antara bidang yang dapat memenuhi permintaan tenaga kerja mahir sekali gus mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
Namun, katanya, ini bukan bermakna universiti dan kolej perlu melupakan bidang-bidang lain.
Sebaliknya, jelas beliau, IPT harus memainkan peranan serta bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, untuk terus mencungkil potensi graduan tempatan.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah pun berkali-kali menyebut bahawa beliau melancarkan AI untuk rakyat. Oleh itu, universiti perlu menyambut dan memenuhi tuntutan tersebut untuk generasi kini dan akan datang,”katanya dalam sidang media selepas Program Libat Urus Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Duta-Duta Negara Luar, di Wyndham Grand Bangsar, di sini pada Isnin.
Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah graduan tempatan dalam sektor teknologi tinggi tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan para pelabur.
Dalam perkembangan sama, Zambry menekankan kepentingan memanggil duta-duta luar negara untuk membincangkan polisi terbaharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), bagi memperkenalkan pendidikan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Katanya, perkara itu selari dengan matlamat kementerian tersebut untuk meningkatkan kepentingan pendidikan tinggi selaras dengan keperluan industri.
“Setakat ini, interaksi antara kedutaan luar negara di Malaysia adalah sangat baik dan mereka menghargai program seumpama ini,” katanya.
Terdahulu, KPT merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan buat pelajar antarabangsa.
Zambry berkata, perkara itu merupakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara, menerusi inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015 hingga 2025.