HomeBeritaJakim tidak terima bukti dokumen nasab 'Mawla Amin'

Jakim tidak terima bukti dokumen nasab ‘Mawla Amin’

 

CYBERJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menafikan menerima bukti dokumen nasab ‘Mawla Amin’, lelaki Algeria yang didakwa mempunyai susur galur keturunan Nabi Muhammad.

Penafian itu dikeluarkan susulan kenyataan penganjur programnya di negara ini – Nur Al Mustafa Malaysia – minggu lalu yang mendakwa telah mengemukakan bukti dokumen kepada Jakim.

Jakim dalam kenyataannya di Facebook menjelaskan, susulan kenyataan oleh pihak Nur Al Mustafa Malaysia dalam sidang media yang diadakan berhubung nasab ‘Mawla Amin’ yang memaklumkan bahawa pihak mereka telah mengemukakan bukti dokumen berkaitan kepada pihak Jakim, dimaklumkan bahawa Jakim tidak menerima sebarang dokumen seperti yang dinyatakan.

Sebelum ini, dalam laporan eksklusif Harian Metro melaporkan seorang lelaki mendakwa warganegara Maghribi, Muhammad Amin al-Idrisi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Mohamed Amin al-Hassani’ mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW pernah datang ke negara ini, dua tahun lalu anjuran sebuah madrasah.

Madrasah itu juga terpalit dengan kes salah laku yang membabitkan mudirnya memukul pelajarnya.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kegiatan lelaki itu susulan laporan mengenai seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dipetik berkata, PDRM sedang memantau pergerakan ‘Mawla Amin’ dan pengikutnya termasuk madrasah itu yang beroperasi di Selangor.

 

Author

Pilihan Editor