HomeBeritaPesakit IJN discaj setelah keadaan stabil - Dr Dzulkefly

Pesakit IJN discaj setelah keadaan stabil – Dr Dzulkefly

CYBERJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan dakwaan bahawa Institut Jantung Negara (IJN) bertindak mendiscaj keluar semua penjawat awam dan pesara, sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan kos.

Dr Dzulkefly menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Isnin berkata, para pesakit sebaliknya dibenarkan discaj setelah keadaan mereka stabil untuk ditempatkan ke pusat jantung Kementerian Kesihatan (KKM) yang lain.

Turut melampirkan kenyataan KKM dalam hantarannya, beliau menjelaskan bahawa, pesakit yang dirujuk terus akan dipantau selama enam bulan hingga satu tahun jika mereka adalah dewasa dan satu hingga dua tahun jika mereka adalah kanak-kanak.

Menurut lampiran itu, pendekatan strategik berkenaan membolehkan kira-kira 4,000 pesakit baharu dirujuk ke IJN setiap tahun, dan memaksimumkan keberkesanan kos.

Pada masa sama, Dr Dzulkefly juga memberi jaminan bahawa, pusat jantung KKM adalah diuruskan pakar kardiologi dan pakar bedah kardiotoraks yang bereputasi dan bertauliah.

“Paling penting, KKM akan terus memastikan penjagaan dan keselamatan pesakit tidak terjejas termasuk pesara-pesara kerajaan,” tambahnya.

Tangkap layar hantaran Dr Dzulkefly di laman Facebook pada Selasa.

Pada Isnin, portal berita kesihatan CodeBlue menerbitkan surat daripada seorang pesara tidak dinamakan, yang mendakwa dirinya dikeluarkan dari IJN selepas menerima penjagaan rapi.

Menurut pesara itu, dia diberitahu oleh doktor di institut jantung berkenaan bahawa mereka mengikut arahan KKM supaya penjawat awam dan pesara dibenarkan keluar ke pusat jantung kerajaan.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sudah pun beberapa kali memberi respons terhadap isu berulang berkenaan.

“IJN dan KKM mempunyai hubungan kerja yang baik, walaupun selepas pengkorporatan IJN.

“Sejak sekian lama, KKM telah merujuk kes-kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN dan terutamanya untuk mengurangkan ‘kesesakan dan masa menunggu yang lama’ Pusat Jantung KKM (contohnya Pusat Jantung Serdang).

“Kami mempunyai 10 hospital yang mempunyai perkhidmatan kardiologi dan tujuh termasuk mempunyai perkhidmatan surgeri kardiotorasik.

“KKM membayar kepada IJN untuk setiap pesakit yang dirujuk ke lJN, menggunakan pembiayaan tahunan persekutuan yang diterima daripada MOF (Kementerian Kewangan),” jelasnya.

Author

Pilihan Editor