MARANG: “Pertama kali saya melihat hidupan laut yang unik seperti itu sekali gus mendorong saya membawanya pulang ke rumah,” kata Mahmud Kechik.
Mahmud, 60, dari Kampung Rhu Muda berkata, dia menemukan objek seberat lapan kilogram yang dipercayai sejenis tumbuhan di laut dalam itu terdampar di Pantai Kelulut, seminggu lalu.
“Saya tertanya-tanya sama ada ia memang betul pokok di dasar laut seperti didakwa ramai orang atau sejenis hidupan air lain.
“Bentuk fizikalnya seperti tumbuhan kerana memiliki akar tetapi bersifat kenyal seperti getah selain berbau hanyir.
“Semua nelayan yang ditemui tidak pernah melihat hidupan laut seperti itu malah segelintir nelayan mendakwa ia mungkin lemak ikan paus yang membeku,” katanya.
Tambahnya, objek pelik yang ditemui itu membuatkan ramai penduduk datang ke rumah untuk melihatnya dari jarak dekat, lapor Harian Metro.
“Saya cuba membakar sebahagian kecil serpihan objek itu dan ia mencair seperti lilin.
“Nama dan jenis objek itu masih menjadi tanda tanya kerana ia tidak pernah dilihat atau ditemui di pantai sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, berikutan air pasang besar dan fenomena ombak besar menyebabkan banyak sampah sarap termasuk pelbagai barangan dihanyutkan ke pantai.
“Menjadi rutin harian saya ke pantai pada setiap pagi mencari sesuatu yang berharga yang dihanyutkan air namun pertama kali menemui hidupan laut yang misteri itu,” katanya.
Dia turut sedia memberi kerjasama sekiranya ada pihak tertentu yang ingin membuat kajian ke atas hidupan laut yang ditemui itu seterusnya merungkai misteri di sebalik penemuan itu.