HomeSukanKe mana destinasi Brendan Gan? Ini kata penganalisis

Ke mana destinasi Brendan Gan? Ini kata penganalisis

CYBERJAYA: Destinasi Brendan Gan masih menjadi teka-teki buat penyokong bola sepak tempatan, setelah tonggak tengah kebangsaan itu meninggalkan Selangor FC pada bulan ini.

Setakat ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi dari bintang warisan negara itu berhubung pasukan baharu yang bakal disertainya pada musim 2024.

Khabar angin yang berlegar-legar ketika ini mendakwa bahawa, pemain campuran Australia-Malaysia itu bakal menabur bakti di kelab gergasi selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Namun, penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli tidak menolak kemungkinan bahawa pemain berusia 35 tahun itu akan menempuh waktu-waktu yang sukar sekiranya berkhidmat di Harimau Selatan.

“Usianya merupakan faktor kemungkinan dia agak ‘tough‘ jika berada di JDT.

“Tetapi, jika dia berkhidmat di Sri Pahang FC atau Terengganu FC (TFC), saya berpendapat khidmatnya masih diperlukan oleh pasukan-pasukan ini,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Awal bulan ini, Selangor FC mengesahkan bahawa Gan meninggalkan pasukan tersebut setelah berkhidmat sepanjang empat musim.

Noaa Laine -Foto: FAM

Pada bulan sama, Gergasi Merah berjaya mendapatkan pemain warisan Finland-Malaysia, Nooa Hamzah Laine secara pinjaman selama setahun untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pekan Ramli -Foto: Flash Sukan

Mengulas lanjut, Pekan berpendapat bahawa, kehadiran Nooa di Selangor mungkin tidak dapat mengambil alih fungsi Gan sebagai pemain tengah sepenuhnya.

Sebaliknya, Pekan berkata, Nooa memerlukan sokongan daripada pemain Selangor, khususnya pemain tengah bersifat matang serta mampu mengimbangi kebolehan dimiliki oleh pasukan berbenteng kuat seperti JDT dan TFC.

“Selangor memerlukan pemain tengah yang benar-benar berfungsi untuk mengimbangi ketiadaan Gan kelak.

“Ini walaupun kita tahu bahawa Gan ‘on off‘ dengan pasukan Selangor pada tahun lepas,” ujarnya.

Sepanjang berkhidmat dengan Selangor FC, Gan sudah pun membuat 80 penampilan dan menjaringkan 14 gol dan 12 bantuan jaringan.

Malah, bantuan gol ke-12 dan terakhir beliau membantu Selangor FC menumpaskan seteru, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk mengesahkan tempat kedua Liga Super 2023 dan memastikan pasukan layak ke Liga Juara-Juara AFC 2.

Pada saingan Liga M 2014, Gan yang ketika itu baru setahun jagung bersama Kelantan FC menarik minat pengendali Harimau Selatan ketika itu, Bojan Hodak untuk membawanya masuk ke kem JDT.

Gan bagaimanapun menolak tawaran tersebut kerana merasakan ia bukan masa sesuai untuknya meninggalkan Kota Bharu.

Author

Pilihan Editor