TIDAK berperikemanusiaan! Itulah gambaran paling sesuai diungkap berhubung tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan seekor kucing dalam guni lalu diikat sebelum dibuang ke dalam tong sampah.
Bagaimanapun, guni berisi kucing itu sempat diselamatkan daripada dibuang ke tempat pelupusan sampah.
Menerusi video tular di Facebook, kelihatan dua pekerja kontraktor syarikat pembersihan E-idaman Sdn Bhd menyelamatkan kucing berkenaan selepas terdengar bunyi suara kucing dalam timbunan sampah dalam lori berkenaan, lapor Berita Harian.
Menurut pekerja terbabit, Aziz Dahlan, 48, kejadian itu berlaku di Pekan Kuala Nerang pada jam 9 pagi kelmarin ketika dia bersama beberapa rakannya mengangkut sampah ke lori.
Katanya, ketika itu dia terdengar suara kucing dan menyangka ia di bahagian bawah lori.
“Saya cuba mencari bunyi berkenaan sebelum menyedari ia datang dari dalam guni yang diikat dengan tali. Saya terus mengambil guni berkenaan dan membukanya sebelum menyedari seekor kucing di dalamnya dan terus melepaskannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Aziz yang sudah setahun bekerja di syarikat pembersihan berkenaan tidak menyangka video itu tular di media sosial.