HomeBeritaSuami isteri lagak samseng di Jambatan P.Pinang dihukum

Suami isteri lagak samseng di Jambatan P.Pinang dihukum

BUKIT MERTAJAM: Suami isteri yang didakwa mengganggu dan menakutkan penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang, masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Hukuman itu ditetapkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit selepas kedua-dua tertuduh Muhammad Hafiz Ong Abdullah, 50 dan isterinya, Ong Ser Ying, 37, mengaku salah, lapor Berita Harian.

Nurul Rasyidah turut memerintahkan penjara enam bulan terhadap kedua-dua tertuduh sekiranya denda itu gagal dibayar.

Mengikut pertuduhan, pasangan terbabit menakutkan dua lelaki secara jenayah ketika menunggang motosikal di Kilometer (KM) 2.8 Jambatan Pertama Pulau Pinang dari arah Pulau ke Perai, jam 5 petang, 5 Februari lalu.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shakila Dahari manakala pasangan berkenaan tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding, kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadap mereka, selain tertuduh wanita berulang kali memohon maaf atas kesalahan dilakukannya.

Kedua-dua tertuduh yang juga peniaga makanan meminta denda minimum sebelum mahkamah menetapkan denda masing-masing RM2,500 dan sekiranya gagal bayar, penjara enam bulan.

Sebelum ini, tular video pasangan suami isteri berkenaan menunggang motosikal secara berbahaya di Jambatan Pulau Pinang.

Dalam video itu, suspek wanita didapati membaling sesuatu objek dipercayai pasir dan cuba menendang pengguna motosikal yang ingin memotong motosikal ditunggang suaminya.

Author

Pilihan Editor