HomeBeritaKertas siasatan kes parodi Dd Chronicle dirujuk Peguam Negara esok

Kertas siasatan kes parodi Dd Chronicle dirujuk Peguam Negara esok

KUALA LUMPUR: Polis selesai merakam keterangan pempengaruh media sosial, Dd Chronicle berhubung video parodi miliknya yang didakwa mempersendakan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Dd Chronicle atau Dediy Sulaeman Ra’e, 43, dipanggil ke Bukit Aman pada Khamis lalu.

“Rakaman percakapan suspek sudah diambil di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 10.15 pagi, Khamis lalu.

“Siasatan berkait kes ini dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyan 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Isnin.

Tambah beliau, kertas siasatan lengkap akan dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (KUJAKA), Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, esok.

Maklumnya lagi, setakat jam 8 pagi hari ini, sebanyak 49 laporan polis diterima pihaknya terhadap Dd Chronicle di seluruh negara.

Jelasnya, aduan tertinggi dicatatkan di Johor dengan 12 laporan, Pahang (lima) manakala masing-masing empat di ibu negara, Melaka, Perak dan Selangor dan masing-masing tiga di Sabah, Kelantan dan Kedah.

“Selain itu, masing-masing dua laporan di Negeri Sembilan dan Terengganu serta masing-masing satu di Perlis, Pulau Pinang dan Sarawak,” katanya.

Sebelum ini, kecoh di media sosial berhubung tindakan seorang pempengaruh yang didakwa mempersendakan agama dan menghina mahkamah selepas memuat naik video parodi dipercayai berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Dalam video berkenaan, dipaparkan aksi lakonan parodi pempengaruh tersebut dengan skrip menyatakan perbuatan minum arak dan berjudi, tidak akan dikenakan hukuman.

Tindakannya nyata mengundang kecaman netizen sehingga muncul pihak yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadapnya.

Author

Pilihan Editor