HomeGlobalWanita dikecam gara-gara masak ‘Beriani Barbie’

Wanita dikecam gara-gara masak ‘Beriani Barbie’

PASTI seronok jika hari istimewa disambut dengan orang tersayang serta mempunyai tema tersendiri.

Namun siapa sangka, gara-gara mengadakan majlis bertemakan warna merah jambu, seorang wanita di Mumbai, India, Heena Kausar Raad, dikecam teruk warga net.

Perkara itu susulan tindakannya memuat naik di Instagram miliknya sejenis hidangan berupa nasi beriani namun berwarna merah jambu.

Difahamkan, Heena mencipta hidangan istimewa itu untuk pesta bertemakan Barbie di sekolah masakannya, HKR Baking Academy.

Malah, Heena turut menamakan nasi beriani yang dimasaknya itu sebagai ‘Beriani Barbie’.

“Nasi merah jambu ini sebenarnya beriani Barbie,” katanya ringkas.

Meskipun video yang dimuat naik Heena pada Sabtu lalu itu mendapat lebih 162 ribu tanda suka, masih ada sebilangan warga net yang geram dengan tindakannya itu.

Umum mengetahui bahawa nasi beriani kebiasaannya berwarna kuning jingga namun menjadi ‘rosak’ dek kerana Heena memasaknya berwarna merah jambu.

“Saya akan saman awak. Beraninya awak!” tulis warga net yang geram melihat nasi beriani tersebut.

“Beriani sepatutnya menjadi Beriani. Tolonglah!” luah seorang lagi netizen.

“Jangan kamu berani lakukan itu pada nasi beriani saya!” komen warga net.

Author

Pilihan Editor