PELAKON, Lan Pet Pet menzahirkan rasa kecewa apabila peralatan memasaknya dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menerusi hantaran di Instagram, Lan atau Mazlan Ahmad, 54, memaklumkan segala persiapan untuknya berniaga Beriani Paipon di Kulim, terganggu apabila peralatan untuk memasak dicuri.
“Tak tahu nak cakap macam mana, periuk, belanga, kami nak buat persiapan untuk buat Beriani Paipon semua telah dicuri.
“Terima kasih ya Allah, Kau beri kami kekuatan,” katanya.
Meskipun diuji, Lan masih berjanji akan tetap berada di karnival makanan terbabit dan menyediakan masakannya kepada pengunjung nanti.
“Saya berdoa kepada Allah SWT permudahkanlah Nasi Paipon Uncle Lan. Orang Kulim, saya janji saya akan tunai tapi kamu tolong berdoa untuk saya dan kru saya.
“Fasal saya sudah buat persediaan untuk orang Kulim tapi Allah uji kami. Doa kamu itu insya Allah, Nasi Beriani Paipon akan sampai ke tangan kamu,” katanya.
Dalam pada itu, Lan turut memohon doa kepada Allah agar merahmati perniagaan yang dijalankan serta memberikan kekuatan buat mereka berdepan ujian berkenaan.
Memetik Berita Harian, Lan ketika dihubungi berkata, kecurian itu membabitkan periuk besar bersaiz 90 sentimeter sebanyak tiga unit yang diletakkan di kedai di Alor Setar, Kedah.
“Kedai tutup kerana saya dan team pergi berniaga di Kuantan. Setiap biji periuk ini satunya berharga RM1,200. Team saya dah buat laporan polis.
“Barang lain yang dicuri ialah motor mesin kacau kuah, kabel dan pelbagai lagi. Anggaran nilai kecurian lebih RM10,000.
“Yang saya ‘down’ sangat, semalam saya nak ambil periuk kerana nak mula berniaga di Kulim hari ini, tengok-tengok periuk semua tiada,” ungkapnya.