HomeBeritaMalaysia tingkat bantuan kepada UNRWA - PM

Malaysia tingkat bantuan kepada UNRWA – PM

CYBERJAYA: Malaysia bersetuju untuk meningkatkan bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif itu dibuat susulan tindakan beberapa negara besar menghentikan sumbangan mereka buat agensi tersebut.

Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan, Malaysia juga telah menyumbang peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta kepada UNRWA, selain AS$250,000 (RM1.19 juta) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan AS$500,000 (RM2.3 juta) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

“Petang semalam (Khamis), saya sempat berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi. Dalam perbualan telefon itu, saya zahirkan ucapan tahniah atas kemenangannya dalam pilihan raya Mesir.

“Saya turut sampaikan penghargaan buat Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir atas peranan penting mereka membantu mempermudahkan urusan penghantaran 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai AS$1.2 juta (RM5.7 juta) dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza.

“Kami berdua senada dalam menzahirkan komitmen berterusan membantu saudara kita di Palestin,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anwar  berkata, beberapa Ahli Parlimen Malaysia daripada blok kerajaan dan pembangkang ketika ini sedang dalam perjalanan ke Rafah bagi menyatakan sokongan buat Mesir.

Jelas beliau, kumpulan Ahli Parlimen itu juga akan turut membantu urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Gaza.

“Alhamdulillah, Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir membantu urusan wakil kita dan semua Ahli Parlimen Malaysia telah diberi kebenaran untuk mengunjungi sempadan Rafah.

“Di akhir perbualan, kami berdua zahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir bukan saja terkait isu Palestin, bahkan merangkumi soal perdagangan dan ekonomi untuk membawa persahabatan ini ke tingkat lebih tinggi,” katanya.

Author

Pilihan Editor