HomeBeritaMahkamah & JenayahIndividu maut diikat, dipukul sah positif dadah - Polis

Individu maut diikat, dipukul sah positif dadah – Polis

PETALING JAYA: Susulan kes lelaki diikat dan dipukul sehingga maut, polis telah mengesahkan mangsa positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa yang berusia 42 tahun turut mempunyai 10 rekod lampau, selain dikehendaki atas kesalahan dadah.

Omar juga berkata, pihak polis telah menahan dua lelaki berusia 22 dan 39 bagi membantu siasatan dan menyebabkan keseluruhan yang ditahan adalah seramai tujuh tahanan, lapor Harian Metro.

“Kita percaya akan ada lagi individu lain yang ditahan selepas ini berhubung kejadian terbabit.

“Selain itu, kita juga sudah menerima laporan dibuat oleh dua pemilik kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa melanggar dua kenderaan lain sebelum ditemui meninggal dunia dipercayai akibat dipukul,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Hussein berkata, siasatan masih dijalankan bagi mencari punca sebenar motif kejadian kerana tiada kecederaan ketara pada mangsa dilaporkan selepas bedah siasat dijalankan.

“Disebabkan itu, kami masih lagi menunggu keputusan analisis makmal bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana boleh memberi kesan kepada siasatan dan mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.

Author

Pilihan Editor