CYBERJAYA: Dakwaan yang tular di media sosial mengatakan Nurul Izzah Anwar dibayar sebagai penasihat kepada Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) adalah fitnah semata-mata.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata, perjanjian yang disebarkan di media sosial sebenarnya sebuah draf tawaran yang tidak sah.
“Perjanjian sah ditandatangani oleh Nurul Izzah adalah untuk memberikan khidmat nasihat kepada Laksana secara ‘pro bono’ atau tanpa mengambil imbuhan kewangan mahupun sebarang faedah, sepertimana dimaklumkan kepada umum,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di platform X pada Rabu.
Sebelum ini, Nurul Izzah yang merupakan Naib Presiden PKR menerima kiriman di Facebook yang berbaur fitnah terhadapnya.
Hantaran tersebut mendakwa beliau dilantik sebagai penasihat Laksana dan menerima gaji sebasnyak RM35,000 dan diberi dua kakitangan dengan pendapatan di antara RM5,000 hingga RM20,000.
Nurul Izzah kemudiannya membuat laporan polis terhadap dakwaan berbaur fitnah itu.