HomeBerita45 jenama madu tidak patuhi standard - KKM

45 jenama madu tidak patuhi standard – KKM

CYBERJAYA: Sebanyak 45 daripada 769 sampel produk madu pelbagai jenama dikenal pasti tidak mematuhi standard ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, tindakan penguatkuasaan sudah pun diambil terhadap syarikat dan produk terlibat.

Menurutnya, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti (PKMM) sentiasa menjalankan pemantauan produk madu di pasaran dan kesemua sampel produk madu pelbagai jenama itu sudah pun diambil dari 2016 sehingga kini.

“Berdasarkan Peraturan 130, Peraturan-peraturan Makanan 1985, produk madu perlu mengikut standard yang ditetapkan antaranya mengandungi tidak kurang daripada 60 peratus gula penurunan, mempunyai kandungan sukrosa tidak lebih 10 peratus dan tidak boleh mengandungi hydroxymethylfurfural lebih daripada 80 mg/kg,” menurut KKM dalam kenyataan pada Rabu.

Kenyataan sama memaklumkan, Seksyen 13(2)(e) memperuntukkan tiada sesiapa boleh menyediakan atau menjual sebarang makanan yang diadukkan, jika tidak mematuhi standard atau spesifikasi ditetapkan mana-mana peraturan dibuat di bawah akta terbabit.

“Seseorang yang didapati melanggar peruntukan ini apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” menurut KKM.

Pada masa sama, KKM juga sedang menjalankan kerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Pertanian bagi menentukan ketulenan madu menggunakan teknik isotop, sebagaimana disarankan standard makanan antarabangsa Codex.

Malah, KKM turut menawarkan Skim Pensijilan Makanan Autentik bertujuan memberikan pengiktirafan terhadap produk makanan yang disahkan autentik atau tulen serta memenuhi kriteria ditetapkan dalam skim pensijilan berkenaan.

“Ini termasuklah produk madu, daging, kopi dan sarang burung walit. Sehingga kini, tujuh syarikat telah memperoleh pensijilan autentik untuk produk madu daripada KKM,” katanya.

 

 

Author

Pilihan Editor