RAJA Britain, Raja Charles III kini disahkan menghidap kanser selepas 18 bulan menaiki takhta.
Lapor NDTV, perkara itu diumumkan Istana Buckingham menerusi kenyataan pada Isnin.
Namun, pihak istana tidak mendedahkan jenis kanser yang dihidapi raja berusia 75 tahun itu.
Pada masa sama, pihak istana menafikan bahawa ia adalah kanser prostat, meskipun Charles mendapat rawatan berkaitan prostat pada bulan lalu.
“Baginda telah memulakan jadual rawatan berkala dan dinasihatkan oleh doktor untuk menangguhkan tugas yang melibatkan penampilan awam.
“Sepanjang tempoh ini, baginda akan terus menjalankan urusan negeri dan kertas kerja rasmi.
“Baginda berterima kasih kepada pasukan perubatan atas bantuan cekap terhadapnya. Baginda kekal positif mengenai rawatannya dan berharap untuk kembali menjalankan tugas sama seperti biasa,” maklum Istana Buckingham.
Charles ditabalkan sebagai raja pada 6 Mei 2023, selepas lebih tujuh dekad menanti untuk ditabalkan sebagai ketua negara.
Pertabalannya dibuat susulan kemangkatan Ratu Elizabeth, pada 8 September 2022, selepas menjadi pewaris paling lama berkhidmat dalam sejarah Britain.