SHAH ALAM: Penyanyi, Noh Salleh terkejut apabila bekas isterinya, Mizz Nina menarik semula kes penjagaan penuh dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara anak angkat mereka, Musa.
Noh atau Muhammad Noh Salleh, 39, berkata, tindakan itu tidak adil sekiranya hanya keterangan pihak plaintif iaitu Mizz Nina didengari.
Malah, dia turut berasakan dirinya sudah dianiaya.
“Saya terkejut, dia (Mizz Nina) minta saya datang mahkamah kemudian dia menarik kes. Ketika proses Sulh pun tiada apa yang terjadi. Jadi, tunggu esok (6 Februari) sebutan kes di hadapan hakim.
“Saya perlu menjawab tuduhan dia, tidak adil di sebelah pihak saya dan apa sebenarnya permainan dia? Saya mahukan kebaikan untuk Musa.
“Tiada perjanjian hak penjagaan, kalau ada sila tunjukkan. Surat yang dikatakan hanya SD (akuan berkanun) sahaja tidak boleh diguna pakai dalam kes ini dan surat itu sudah ditarik balik.
“Saya kena jawab segala tuduhan dan tak adil untuk saya. Ditambah pula dengan kejadian ketika rumah saya diketuk dan peguam datang beri surat mahkamah, ambil Musa tetapi tiba-tiba tarik balik. Tiada perjanjian, kalau ada tunjukkan,” katanya, memetik Kosmo! Online pada Isnin.
Noh berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.
Pelantun lagu Angin Kencang itu turut menegaskan bahawa Musa bukan anak Mizz Nina sebaliknya milik ibu kandungnya.
“Itu bukan anak dia, Musa anak ibu kandung dia.
“Saya sudah dapat surat pengesahan daripada ibu kandung Musa.
“Harap ada kebenaran sebab saya sudah dianiaya dan saya mahu kebenaran muncul,” ujarnya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Noh iaitu Megat Syazlee Mokhtarom dan Muhammad Shamsyuar Jasmin berkata, tiada sebarang dokumen penyerahan dikemukakan.
“Dalam dokumen penjagaan itu ada dua nama, satu nama Noh dan satu nama Mizz Nina. Jadi tiada isu. Tiada dokumen penyerahan, hanya ada dokumen penjagaan.
“Dua-dua ada hak, isunya sekarang hak itu ada pada siapa. Siapa yang menidakkan siapa?” maklumnya.
Hari ini, peguam mewakili Mizz Nina selaku plaintif iaitu Fakhrul Azman memaklumkan prosiding Sulh tidak berlangsung susulan penyanyi itu telah menarik semula kes penjagaan penuh bagi anak angkatnya, Musa dan Inter-parte bagi hak penjagaan sementara.
Bagaimanapun, Mizz Nina tidak hadir bagi prosiding hari ini sebaliknya diwakili suaminya, Essam Muhammad.
Terdahulu, Mizz Nina mendakwa Noh membawa keluar anak angkatnya, Musa tanpa kebenaran dan pengetahuan pihaknya.
Mizz Nina atau Shazrina Azman, 44, mengakui perkara yang disifatkan sebagai satu pengkhianatan itu memberikan kesan emosi kepadanya memandangkan dia adalah ibu susuan Musa dan tidak pernah berjauhan dengan anaknya selama itu.
Mizz Nina sebelum ini mendakwa kejadian anaknya dibawa keluar dari rumah berlaku pada 19 Disember tahun lalu ketika dia dalam penerbangan ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.
Mizz Nina kemudiannya mendapatkan perintah mahkamah untuk mendapatkan semula Musa.