HomeGlobalPangkalan tentera AS di Syria diserang kumpulan disokong Iran guna dron

Pangkalan tentera AS di Syria diserang kumpulan disokong Iran guna dron

PANGKALAN tentera Amerika Syarikat (AS) di wilayah Deir ez-Zor, Syria diserang dengan dron oleh kumpulan yang disokong Iran, kata sumber tempatan pada Isnin.

Kumpulan tersebut yang berpangkalan di tebing barat Sungai Euphrates menyerang kawasan minyak Al-Omar dengan beberapa dron kamikaze, di mana pasukan AS berpangkalan.

Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan. Setakat ini tentera AS belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan serangan itu, lapor Anadolu.

Tentera AS mula membuat serangan udara terhadap pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan pasukan yang dsokong Iran di Iraq dan Syria selepas serangan dron berani mati yang membunuh tiga tentera Amerika di Jordan bulan lalu.

Serangan tersebut dilakukan dengan beberapa pesawat, termasuk pengebom jarak jauh yang dilancarkan dari AS, kata Pusat Kawalan (Centcom) dalam satu kenyataan.

Secara keseluruhannya, lebih daripada 85 sasaran dibedil dengan lebih daripada 125 senjata tepat.

Kerajaan Iraq berkata, sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan 25 cedera dalam serangan AS.

Sejak awal tahun ini, pangkalan di mana tentera AS ditempatkan di Syria telah diserang sekurang-kurangnya lima kali dengan roket dan dron kamikaze yang tidak diketahui asalnya.

Deir ez-Zor diduduki oleh pertubuhan pengganas PKK/YPG yang disokong AS, manakala pusat bandar dan kawasan luar bandar lain berada di bawah kawalan rejim Bashar al-Assad Syria dan kumpulan yang disokong Iran.

Author

Pilihan Editor