HomeGlobalSyarikat rakaman BMG gugurkan Roger Waters kerana solidariti dengan Palestin

Syarikat rakaman BMG gugurkan Roger Waters kerana solidariti dengan Palestin

SYARIKAT muzik Jerman, BMG dilapor menggugurkan pengasas bersama Pink Floyd, Roger Waters atas kenyataannya yang menyokong Palestin, menurut artikel yang diterbitkan oleh Variety pada Isnin.

Pemuzik berusia 80 tahun itu sebelum ini mengkritik Israel kerana mengepung Gaza, menuduh Barat memprovokasi dan memanjangkan konflik Ukraine, dan menggelar Amerika Syarikat (AS) sebagai negara ‘yang paling jahat’.

Syarikat rakaman itu menandatangani kontrak dengan Waters pada 2016 dan bersedia untuk mengeluarkan versi baharu rakaman album ikonik Pink Floyd pada 1973 ‘Dark Side of the Moon’. Bagaimanapun, selepas syarikat itu melantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu tahun lepas, perjanjian itu dibatalkan dan rekod itu akhirnya dikeluarkan oleh syarikat rakaman yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

Variety berkata, menurut beberapa sumber, BMG bersedia menggugurkan pemuzik veteran itu sepenuhnya. Tiada kenyataan rasmi daripada syarikat mengenai tindakan itu, dan Variety mendakwa wakil BMG menolak permintaan untuk mengulas.

Dalam temu bual dengan Glenn Greenwald akhir tahun lalu, Waters sendiri membayangkan bahawa masanya bersama BMG mungkin tidak lama, menyatakan bahawa berpunca daripada sentimen pro-Israel di syarikat induk label rekod itu, Bertelsmann.

Pemuzik itu, penyokong tegar perjuangan Palestin telah dicap sebagai anti-Zionis dan juga anti-Yahudi atas kritikan kerasnya terhadap Israel, pendapat mengenai Holocaust dan mempersoalkan versi kerajaan Israel mengenai serangan 7 Oktober oleh Hamas. Waters menafikan sekeras-kerasnya dakwaan anti-Semitisme itu.

Beliau juga menghadapi kritikan kerana bercakap di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun lalu atas jemputan Rusia, di mana beliau menggesa gencatan senjata di Ukraine dan menyatakan bahawa serangan Moscow terhadap Kiev ‘bukan tanpa provokasi’. Beliau sebelum ini telah mengutuk Barat kerana menghasut konflik itu dan memanjangkannya melalui penghantaran senjata berterusan ke Kiev.

Author

Pilihan Editor