HomeGlobalTembakan rambang di perarakan Super Bowl, seorang maut 21 cedera

Tembakan rambang di perarakan Super Bowl, seorang maut 21 cedera

 

SEORANG maut dan 21 orang cedera dalam kejadian tembakan di Missouri pada penghujung perarakan kemenangan Super Bowl pasukan bola sepak Amerika, Kansas City Chiefs, semalam.

Pegawai perubatan berkata, mereka merawat lapan mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dan tujuh lagi yang mengalami kecederaan yang boleh mengancam nyawa.

Sembilan daripada mereka yang cedera adalah kanak-kanak dan semuanya dijangka pulih.

Polis berkata, mereka telah menahan tiga suspek berkaitan tembakan itu, lapor BBC.

Tembakan dilepaskan di sebelah barat Union Station, stesen kereta api di pusat bandar Kansas City, yang merupakan tempat perarakan berakhir sekitar jam 14:00 waktu tempatan (20:00 GMT) dan beribu-ribu peminat berkumpul untuk menonton perayaan itu.

Laporan tempatan berkata, pemain Kansas City Chiefs masih berada di atas pentas apabila tembakan pertama berbunyi.

Tembakan itu menyebabkan orang ramai yang menonton, termasuk datuk bandar dan ahli keluarganya, mencari perlindungan.

Ketua Polis Kansas City, Stacey Graves berkata, pegawai bertindak segera selepas tembakan berlaku dan detektif yang berada di tempat kejadian segera menyiasat. Jabatan Bomba juga bertindak, memberikan bantuan kepada mangsa yang cedera.

Lebih 800 pegawai polis berada di tempat kejadian untuk memantau perarakan, kata pihak berkuasa. Pihak bomba di bandar itu turut hadir memberikan rawatan perubatan jika diperlukan.

Pada sidang akhbar pada Rabu, Graves berkata, seramai 22 orang terkena tembakan – seorang daripadanya maut – dan tiga individu telah ditangkap.

Sebuah stesen radio tempatan berkata, salah seorang DJnya, Lisa Lopez, terbunuh dalam tembakan itu.

Mangsa yang terselamat dibawa ke tiga hospital tempatan, kata pegawai, dengan kes yang mengancam nyawa dibawa ke hospital dalam masa 10 minit selepas kejadian tembakan.

Sembilan kanak-kanak berumur enam hingga 15 tahun dengan luka tembakan sedang dirawat di Hospital Mercy Kanak-kanak, kata ketua jururawat, Stephanie Meyer.

Hospital tempatan berkata, mereka juga merawat orang yang tidak ditembak tetapi cedera akibat rempuhan mengejut selepas tembakan itu.

Sumber penguatkuasa undang-undang memberitahu CBS News, rakan kongsi BBC di Amerika Syarikat (AS), bahawa tembakan itu nampaknya berpunca daripada pertengkaran yang bertukar menjadi ganas. Sumber itu berkata, ia tidak ada kaitan dengan keganasan.

Polis berkata, mereka sedang menyiasat motif dan mengumpul bukti fizikal serta digital. Mereka meminta mana-mana saksi atau individu yang mempunyai maklumat untuk menghubungi penguatkuasa undang-undang.

Author

Pilihan Editor