HomeBeritaMahkamah & JenayahLelaki bakar kereta polis bantuan ditahan

Lelaki bakar kereta polis bantuan ditahan

PETALING JAYA: Seorang pekerja p-hailing ditahan selepas disyaki membakar kereta polis bantuan dan menconteng perkataan jelik di hentian bas di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara, di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, kereta polis bantuan itu terbakar selepas dibaling bom molotov cocktail.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 1.52 pagi Khamis.

“Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes berkenaan di rumahnya di Flora Damansara, di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

“Kami turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan suspek dalam kes berkenaan dalam tangkapan itu,” katanya, hari ini

Maklumnya, hasil siasatan awal mendapati suspek turut melakukan vandalisme dengan menconteng hentian bas itu sebelum membakar kereta terbabit.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan ia disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” jelasnya.

Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok video seorang lelaki berhampiran sebuah kereta polis bantuan terbakar.

Lelaki itu turut mengaku membakar kereta berkenaan dan mendakwa berpuas hati dengan tindakannya itu.

 

Author

Pilihan Editor