HomeHiburanAbby Abadi sahkan pernikahan anak di Thailand, reda Marissa pilih jadi isteri...

Abby Abadi sahkan pernikahan anak di Thailand, reda Marissa pilih jadi isteri kedua

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi, 46, akhirnya mengesahkan pernikahan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim dengan Mohd Aslam yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada Disember lalu.

Naluri keibuan Abby menyatakan dia sudah reda dengan pilihan yang dibuat Marissa untuk bergelar isteri kedua kepada lelaki itu.

Menurutnya, dia memang tidak tahu akan perancangan anaknya Marissa, untuk membuat keputusan drastik sedemikian.

“Saya balik hari itu, suami tengok kamera litar tertutup (CCTV) ada kawan perempuan Marissa di rumah dan baru saya tahu dia dah terlepas ke Thailand.

“Rupa-rupanya kawannya itu seperti ganti dia supaya tiada sesiapa tahu dalam bilik tu tak ada orang. Sangat-sangat tak terjangkau dek akal,” katanya dalam satu temu bual bersama Gempak.

Bagaimanapun, Abby bertegas mahu pasangan itu segera mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia.

“Saya mengakui Marissa dan Aslam menikah di Thailand. Sijil pernikahan mereka ada pada saya, cuma saya mahu mereka selesaikan isu ini.

Abby difahamkan mengetahui maklumat mengenai Marissa sudah berada di Thailand selepas mendapat bantuan daripada rakan polis.

“Saya tahu pun sudah lambat. Saya dapat kesan mereka di Thailand atas bantuan rakan polis selepas beri maklumat dan mereka bantu menjejaki Marissa.

“Saya hubungi anak tetapi tidak dapat, mungkin telefonnya ditutup. Sebagai ibu, saya harap semua ini tak berlaku dan cuba menidakkan perkara ini tak sah tetapi siapalah saya kalau sudah Allah SWT kata itu yang terbaik untuk mereka,” ujarnya.

Terdahulu, nama Marissa kembali menjadi bualan ramai pada Januari lalu selepas khabar angin mengatakan sudah bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember tahun lalu.

Pasangan terbabit dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan yang ketika itu sedang menunaikan umrah.

Pernikahan itu juga berlangsung tanpa pengetahuan ibu bapa Marissa.

 

Author

Pilihan Editor