HomeBeritaSuami isteri maut rumah 2 tingkat terbakar di Damansara Utama

Suami isteri maut rumah 2 tingkat terbakar di Damansara Utama

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri maut dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat  di Jalan SS21/18, Damansara Utama, di sini pada awal pagi Sabtu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihak bomba bagaimanapun berjaya menyelamatkan anak perempuan pasangan itu yang berumur 14 tahun.

Beliau berkata, pasangan yang maut dikenali sebagai Kang Tsi Yam, 61, dan isterinya Leong Chen Mun, 55.

Katanya, empat jentera bersama 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dan Petaling Jaya bergegas ke lokasi kejadian, selepas pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran kediaman itu pada jam 5.13 pagi.

“Anggaran kemusnahan adalah 70 peratus dan kebakaran dikesan berlaku di bilik utama tingkat atas kediaman tersebut serta bahagian dapur di tingkat bawah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke hospital berhampiran untuk bedah siasat, manakala pihak bomba masih menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran.

 

 

 

Author

Pilihan Editor