WASHINGTON: Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyiasat video yang menunjukkan tentera Israel menembak dua warga Palestin yang tidak bersenjata dan menanam mereka menggunakan jentolak.
Video yang disiarkan oleh Al Jazeera Arabic itu menunjukkan mangsa berjalan di kawasan lapang di sepanjang pantai Gaza.
“Jenayah perang yang kejam ini dan banyak lagi jenayah serupa yang dilakukan setiap hari oleh kerajaan Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai mesti disiasat oleh PBB sebagai sebahagian daripada pembunuhan beramai-ramai yang berterusan, pembersihan etnik dan kebuluran paksa yang dikenakan ke atas rakyat Palestin dengan bersubahat dengan pentadbiran Biden.
“Pasukan kerajaan sayap kanan Israel seolah-olah membunuh rakyat Palestin secara sesuka hati dan kemudian memperlakukan tubuh mereka seperti sampah. Pembunuhan beramai-ramai ini mesti dihentikan, bukan dimaafkan atau disokong dengan senjata dan retorik,” kata Pengarah Komunikasi Nasional CAIR, Ibrahim Hooper dalam satu kenyataan pada Rabu.
Masih tidak dapat dipastikan bila kejadian itu berlaku, tetapi rakaman terbaharu muncul beberapa hari selepas satu lagi video yang menunjukkan sebuah dron Israel menjejaki dan menyerang empat rakyat Palestin di Khan Younis, yang menyebabkan mereka terbunuh dalam beberapa siri serangan.
Mengenai pembunuhan itu, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu menyeru Israel untuk menyiasat dakwaan mengenai pelanggaran undang-undang perang itu.
Ditanya mengenai video itu, jurucakap Jabatan Negara memberitahu Anadolu bahawa kandungan video itu ‘menganggu’.
“Kami belum mengesahkan rakaman itu, tetapi kami telah meminta Israel untuk mendapatkan maklumat lanjut dan melakukan siasatan,” kata jurucakap itu.
Israel telah melancarkan serangan ketenteraan maut ke atas wilayah Palestin sejak serangan rentas sempadan 7 Oktober oleh kumpulan Palestin Hamas yang membunuh kira-kira 1,200 orang.
Lebih 32,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan kira-kira 75,000 orang cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang pada Januari mengeluarkan keputusan sementara yang mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.