GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket pemalsuan dokumen warga asing yang didalangi etnik Rohingya, 14 Februari lalu.
Ia susulan serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas Pulau Pinang menerusi 16 serbuan sekitar Bukit Mertajam, Butterworth dan Arau, Perlis.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, menerusi Op Pintas Mega itu, pihaknya menahan seramai 14 individu yang terdiri daripada 11 etnik Rohingya dan tiga warga tempatan berusia antara 18 hingga 63 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak dua tahun lalu dalam pembuatan dan penjualan dokumen palsu bernilai antara RM150 hingga RM1,000.
“Dalang sindiket itu adalah lelaki Rohingya berusia 63 tahun yang mana dia dipercayai menetap di negara ini lebih 10 tahun lalu.
“Modus operandi sindiket adalah membuat pelbagai dokumen palsu termasuk kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR), kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta pasport negara Myanmar sebelum diberi kepada ejen bagi dijual kepada pelanggan etnik yang sama menerusi aplikasi WhatsApp.
“Semakan juga mendapati setakat ini sindiket berkenaan sudah menjual kira-kira 700 keping kad UNHCR dengan anggaran keuntungan sebulan mencecah sehingga RM30,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK), hari ini, lapor Harian Metro.
Turut dirampas dalam serbuan terbabit ialah pelbagai dokumen palsu termasuk 20 keping kad UNHCR, i-Kad, kad CIDB, pasport Myanmar (13), lesen memandu Malaysia (4) serta 11 kenderaan termasuk lapan motosikal.
Difahamkan, dalang utama menetap di Bukit Mertajam dan menjadikan sebuah rumah flat di Butterworth sebagai makmal bagi memproses kesemua dokumen palsu.
Mengulas lanjut Mohamed Usuf berkata, siasatan mendapati dua lelaki tempatan yang ditahan berperanan sebagai orang tengah bagi sindiket mendaftarkan kenderaan atas nama mereka.
“Sebanyak 477 kenderaan didaftarkan atas nama suspek berusia 57 tahun manakala 247 lagi atas nama suspek berusia 63 tahun.
“Semakan mendapati kebanyakan kenderaan termasuk motosikal itu dibeli secara tunai sebelum dijual atau disewakan sindiket bagi kegunaan warga asing di sekitar utara tanah air.
“Kita tidak menolak kemungkinan pelbagai kemudahan yang disediakan dengan bantuan warga tempatan menarik pendatang asing tanpa izin (PATI) datang ke sini,” katanya.
Menurut Mohamed Usuf, kesemua tangkapan direman selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 bermula 15 Februari lalu dan siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 26A Atipsom 2007.
“Selain itu, kita juga sedang memburu seorang ejen sindiket berkenaan yang dikenali sebagai Sara Moghul Husin bagi membantu siasatan,” katanya.