HomeBeritaPenunggang motosikal RXZ maut ketika konvoi

Penunggang motosikal RXZ maut ketika konvoi

MARAN: Seorang penunggang motosikal menemui ajal selepas motosikal yang ditunggang terbabas dan merempuh besi penghadang lebuh raya di Kilometer 166.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, dekat susur keluar Maran hari ini.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan, Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 10:55 pagi ketika mangsa berkonvoi dari Kuala Kangsar, Perak ke Kuantan untuk menyertai program RXZ Fighter Gathering 2024 bermula hari ini.

Menurut laporan Buletin TV3, Zamri menyatakan, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Lokman Abdul Aziz, 29, berasal dari Kampung Talang Masjid, Kuala Kangsar bersama rakan dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.

FOTO: Buletin TV3

Motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar besi penghadang jalan.

Menerusi temu bual bersama rakan mangsa, mereka dikatakan berkonvoi sebanyak 14 motosikal.

Difahamkan, mangsa berada di kedudukan paling belakang ketika konvoi.

Tambahnya lagi menerusi kenyataan media, mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohamad Zamri berkata, hasil siasatan awal polis percaya, nahas berlaku kerana mangsa gagal mengawal motosikal hingga kemalangan.

Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Author

Pilihan Editor