HomeBeritaGubal undang-undang khas kawal tindakan tak beradab terhadap Raja Melayu

Gubal undang-undang khas kawal tindakan tak beradab terhadap Raja Melayu

CYBERJAYA: Satu undang-undang khas bagi mengawal sebarang tindakan tidak beradab atau derhaka terhadap institusi Raja-Raja Melayu perlu digubal.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, penggubalan undang-undang khas itu sejajar dengan prinsip Rukun Negara. 

Beliau merujuk khusus kepada kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan Sultan Selangor dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhiran dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata. 

Pada masa sama, beliau turut merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah melepasi had susulan titah semasa pembukaan Parlimen. 

“Pemuda UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang tidak menghormati institusi raja dan akan terus menegur mana-mana individu atau parti yang melakukan sedemikian. 

“Institusi raja bukan modal untuk sesiapa meraih dividen politik bagi survival mana-mana individu atau parti. Ia harus dimartabat, dipelihara dan dihormati,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal menegaskan, kedua-dua ahli politik itu telah membuat kenyataan yang tidak bersesuaian. 

Malah, katanya, ia juga tidak beradab dari sudut orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan serta nasihat kepada Raja-Raja Melayu. 

“Saya yakin konteks yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor adalah bertujuan untuk memastikan keharmonian, kestabilan dan kesatupaduan rakyat Malaysia terus terpelihara dan fokus diberikan sepenuhnya kepada usaha memajukan negeri serta negara. 

“Saya juga yakin bahawasanya Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor amat arif serta mendapat nasihat dan pandangan yang cukup berkenaan soal Perlembagaan dan tugas sebagai pemelihara Islam sebagai agama rasmi Malaysia,” jelasnya. 

Pada Khamis, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi itu bertajuk Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan pada 20 Februari lalu di portal berita pas.org.my.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani, baginda menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.

Author

Pilihan Editor