SEPERTI diduga, ramalan pelakon dan pengacara Nor Neelofa Mohd Noor, 35, bagi juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) semestinya tepat.
Beberapa jam sebelum acara itu berlangsung, Neelofa menerusi hantaran di laman X pada Ahad menjangkakan bahawa, lagu yang dibawa oleh Amir Jahari berjudul Hasrat bakal menjadi juara AJL38.
Selain itu, pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu turut meramalkan juara bagi acara berprestij tersebut bakal menjadi milik Ernie Zakri, yang mempertaruhkan lagu berjudul Astana.
“Jangkaan saya untuk #AJL38, pemenang berpotensi adalah Hasrat (saya bias kerana saya suka dan menonton filem (Imaginur) itu) dan Astana,” tulisnya.
Sama seperti yang diramalkan Neelofa pada tahun-tahun sebelum ini, Amir diumumkan sebagai juara AJL38 dengan membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai RM100,000.
Acara yang berlangsung di Axiata Arena, dekat Bukit Jalil, di ibu negara pada Ahad itu turut menyaksikan Aisha Retno yang membawa lagu berjudul Sutera diumum sebagai pemenang tempat kedua dan persembahan terbaik.
Selain itu, Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu Jangan Mati Rasa itu dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dan memperoleh Anugerah Vokal Terbaik.
Terdahulu, Neelofa meramalkan secara tepat bagi juara AJL37 iaitu Aina Abdul menerusi lagu Terus Hidup bagi tahun 2023. Malah, dia turut meramal kemungkinan Alif Satar layak untuk menempa kemenangan tiga tempat teratas pada tahun tersebut.
Di sebalik ketepatan ramalannya, ia hanyalah dilihat sebagai kebetulan dan tiada kaitan dengan sebarang perkara yang bertentangan dengan agama.