HomeBeritaMahkamah & JenayahPadah tular gambar pegang senjata api, remaja ditahan

Padah tular gambar pegang senjata api, remaja ditahan

 

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang remaja lelaki selepas tular gambar menunjukkannya menggunakan alat menyerupai senjata api di tingkap blok sebuah kondominium di Jalan Kayu Madang di sini.

Suspek berusia 15 tahun itu ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di rumahnya di kondominium berkenaan, jam 5.36 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai gambar tular di kumpulan WhatsApp menunjukkan seorang remaja menggunakan alat menyerupai senjata api di tingkap kondominium di Jalan Kayu Madang.

Katanya, susulan itu, sepasukan polis yang menjalankan pemeriksaan menemui satu laras senjata api tiruan menyerupai AK47 dan sepucuk pistol tiruan.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatannya pada jam 9 pagi Sabtu lalu bertempat di tangga, dengan menggunakan senjata api terbabit untuk menembak ke arah beberapa objek yang dijadikan sasaran.

“Suspek juga mengaku membeli dua senjata api tiruan di sebuah kedai di bandar raya ini dengan harga RM158 dan RM54,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Berita Harian.

Mohd Zaidi berkata, bertindak atas maklumat itu, pasukan polis membuat serbuan di kedai menjual senjata api tiruan di sebuah kompleks beli-belah di sini.

“Sejumlah senjata tiruan dirampas dan menahan seorang lelaki dan wanita berusia 15 dan 19 tahun yang bekerja di premis berkenaan.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Author

Pilihan Editor