CYBERJAYA: Pengasas KK Supermart Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) antara lapan individu yang sudah dirakam keterangan, bagi membantu siasatan polis berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Menurut Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, keterangan pengasas kedai rangkaian serbaneka terbabit dirakam pada jam 12.30 tengah hari Selasa, namun lokasinya tidak didedahkan.
Katanya, siasatan akan meliputi semua aspek sebelum dapatan akhir dimuktamadkan, manakala siasatan awal setakat ini mendedahkan vendor terlibat beroperasi di Batu Pahat, Johor.
“Siasatan masih di peringkat awal dan pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) JSJ akan melaksanakan siasatan secara menyeluruh ke atas kes penjualan stoking tertulis kalimah Allah yang dilaporkan dikesan di KK Mart, Bandar Sunway Pyramid, dekat Petaling Jaya, Selangor.
“Pihak UJST sedang mengenal pasti proses perolehan dan lain-lain yang bersangkutan bagi mengenalpasti pelaku-pelaku yang terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, kenyataan sama turut memaklumkan, setakat jam 12 tengah hari Rabu, sebanyak 80 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan isu terbabit.
Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian KK Mart.
Baginda bertitah supaya tindakan paling keras diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa, tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.