KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan yang kini bermula Mac akan kembali bermula Januari seperti asal pada tahun 2026 setelah kalendar akademik negara ini terpaksa diubah sejak 2022 susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM juga merancang untuk memulakan lebih awal sesi persekolahan tahun hadapan ke Februari 2025.
Beliau berkata, KPM akan memastikan kalendar akademik memenuhi tempoh pengajaran dan pembelajaran secara optimum bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan.
Katanya lagi, jadual peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT) juga akan diselaraskan dengan perubahan tersebut.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki, sama ada kementerian berhasrat mengembalikan semula kalendar persekolahan sebagaimana terdahulu bermula sesi baru Januari sehingga Disember.