HomeGlobalTikTok berdepan pengharaman di AS

TikTok berdepan pengharaman di AS

 

RANG undang-undang Dewan Perwakilan yang bertujuan untuk mengharamkan TikTok di Amerika Syarikat (AS) mendapat kritikan pada Khamis, sebulan selepas kempen Presiden AS, Joe Biden menyertai platform popular itu dalam usaha memikat pengundi muda.

“TikTok berisiko untuk ditutup di AS. Hubungi wakil anda sekarang,” kata mesej oleh aplikasi milik Cina itu, mendorong pengguna membanjiri pejabat kongres dengan panggilan telefon.

“Biar Kongres tahu makna TikTok kepada anda dan beritahu mereka untuk mengundi TIDAK,” kata mesej itu, menurut The Washington Post, yang melaporkan bahawa pengguna diarahkan untuk menghubungi ahli Kongres tempatan mereka selepas memasukkan kod pos mereka, petik Anadolu.

“Ahli Kongres mengemukakan rang undang-undang yang secara jelas menyasarkan TikTok dan aplikasi lain yang mereka tuduh ‘dikawal’ oleh musuh asing, seperti China,” kata akhbar itu, sambil menambah bahawa cadangan itu boleh memaksa syarikat induk TikTok yang berpangkalan di China untuk menjual aplikasi atau menyekatnya sepenuhnya di AS.

Walaupun aplikasi itu – yang dimiliki oleh ByteDance China – disekat pada telefon yang digunakan oleh pegawai kerajaan persekutuan, kempen Biden baru-baru ini menyertai platform itu dalam usaha untuk menarik undian belia menjelang pilihan raya presiden pada November.

Aplikasi ini sangat popular dengan pengguna yang lebih muda, dan dalam beberapa bulan kebelakangan ini pesaing Biden telah menggunakannya secara meluas untuk mempromosikan meme dan video pendek yang mengkritik presiden dan dasar beliau.

Sejak dilancarkan pada 2016, aplikasi perkongsian video milik China itu telah melonjak popularitinya, mencecah lebih 750 juta pengguna global pada 2022.

Dua pertiga daripada remaja Amerika kini adalah pengguna TikTok.

Tetapi ia didakwa membenarkan kerajaan China mengakses data peribadi sensitif pengguna, termasuk lokasi dan sejarah penyemakan imbas.

Tentera AS telah mengharamkan TikTok pada peranti tentera, dan Senat meluluskan rang undang-undang pada Disember lalu untuk menghalang pekerja persekutuan daripada menggunakan TikTok pada peranti kerajaan.

Author

Pilihan Editor