TULAR di media sosial tindakan sebuah jenama kecantikan bertindak menyunting sebuah iklan bersempena Ramadan dan Aidilfitri dengan mengaburkan wajah pelakon kontroversi, Ruhainies.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan jenama berkenaan, tindakan itu diambil bagi memastikan kontroversi melibatkan Ruhainies tidak menjejaskan tayangan video tersebut.
Menurut jenama tersebut, rakaman iklan melibatkan Ruhinies serta dua selebriti lain seperti Wany Hasrita dan Hisyam Hamid itu telah siap dibuat pada Desember tahun lalu.
“Pemilihan mereka bertiga menjayakan rakaman dibuat setelah penelitian rapi dilakukan pada Oktober 2023.
“Berhubung dakwaan ditangkap khalwat dihadapi salah seorang pelakonnya, kami berharap ia tidak akan memberi kesan kepada tayangan iklan kerana rakaman sudah siap pada Disember 2023,” kata kenyataan itu yang disiarkan di Instagram.
Pada masa yang sama, jenama tersebut turut menegaskan pihak mereka tidak berkompromi dengan isu melibatkan Ruhainies.
“Kami tidak menyokong mana-mana pihak, kelakuan buruk atau kontroversi,” ujar kenyataan itu lagi.
Pada 9 Mac lalu, Ruhainies dan Aliff ditahan Jabatan Agama Islam Persekutuan (JAWI) atas tuduhan berkhalwat.
Siasatan dijalankan terhadap kedua-dua pelakon itu dan dibebaskan dengan jaminan pada pukul 2 petang hari sama.
Susulan kejadian itu, Bella Astillah, 30, telah memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres Isnin lalu.
Bagaimanapun kes itu ditangguhkan untuk sebutan semula pada 4 April depan selepas Aliff tidak hadir kerana terlibat dalam penggambaran drama.
Sebagai rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang masing-masing berusia 7 dan 4 tahun.