BINTANG filem Hollywood, Will Smith membuat pengakuan yang dia membaca kitab suci umat Islam Al-Quran sehingga khatam pada Ramadan lalu.
“Saya suka kesederhanaan dalam Al-Quran yang begitu jelas. Sukar untuk saya tinggalkan tabiat membaca itu tanpa memahaminya,” kata Smith kepada wartawan Amr Adeeb di Big Time Podcast.
Menerusi temu bual yang dilaporkan oleh Saudi Gazette, Smith mengakui bahawa dia telah selesai membaca keseluruhan Al-Quran pada bulan Ramadan yang mulia.
Dalam pada itu, Smith menyatakan bahwa dia terkejut dengan persamaan antara kitab suci Yahudi, Kristian, dan Islam.
“Saya terkejut bagaimana ia seperti satu kisah, dari Taurat melalui Bible dan kemudian ada dalam Al-Quran.
“Hubung-kait antara kisah-kisah nabi itu berterusan diceritakan setiap juzuk Al-Quran,” katanya lagi merujuk kepada salasilah Nabi Ibrahim AS, bagaimana Khalilullah itu mempunyai keturunan Nabi Ismail AS dan Nabi Ishaq AS.
Beliau mengakui sangat gembira dapat memahami dengan lebih jelas melalui pembacaan Al-Quran.
Tidak dinyatakan sama ada dia membaca teks dalam bahasa Arab atau terjemahan, namun keakrabannya dengan Al-Quran berpunca daripada kesusahan yang dialaminya sejak dua tahun lalu.
Terdahulu, Smith pernah mencipta kontroversi setelah bertindak menampar Chris Rock di atas pentas Oscar dua tahun lalu semasa siaran langsung anugerah itu.
Berikutan pertengkaran itu, Motion Picture Academy melarang Smith daripada menghadiri Oscars atau mana-mana acara akademi lain selama 10 tahun.
Walaupun Smith sudah membuat permohonan maaf kepada Rock dalam satu kenyataan selepas Oscar tetapi dia masih tidak merasa ketenangan.
Sejak itu, dia mencari ketenangan untuk merefleksikan diri melalui pembacaan Al-Quran.