CYBERJAYA: Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menggesa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh untuk mengambil tanggungjawab atas ketegangan masyarakat yang semakin berlarutan, kesan daripada kempen boikot yang dilancarkan oleh Pemuda UMNO terhadap kedai serbaneka KK Mart.
Menurut Ketua Penerangan AMK, Nabil Halimi, seorang pemimpin politik harus meredakan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
“Namun, Dr Akmal seolah-olah masih berdegil dan sehingga kini beliau masih berdalih dan tidak mengakui kesan disebabkan keghairahan dan keterlanjurannya dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ketika ini, Dr Muhamad Akmal antara individu yang lantang menyuarakan pandangan, berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.
Difahamkan, beliau juga merupakan antara yang terawal menggesa rakyat Malaysia untuk memboikot premis tersebut.
Menurutnya, kempen boikot itu diadakan sebagai pengajaran keras kepada semua pihak yang sewenang-wenangnya memperlekehkan isu agama dan bangsa.
Mengulas lanjut, Nabil berkata, agama Islam harus ditegakkan dengan hikmah dan bukannya dengan kemarahan yang berlebihan.
“Janganlah kerana sikap melampau kamu, negara ini binasa,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin muda harus radikal menjadi penyatu idealisme bangsa Malaysia dan bukannya menjadi pemecah fabrik sosial.
“Justeru, AMK menyeru seluruh masyarakat untuk kekal bertenang serta beri ruang dan kepercayaan yang sepenuhnya kepada polis menjalankan tugas mereka dalam menyelesaikan kes ini.
“Kekalkan keamanan dan kerukunan hidup aman damai yang sekian lama sudah menjadi asas dan kekuatan negara kita yang berbilang bangsa,” katanya.