HomeBeritaPolitikPN yakin mampu tawan DUN Kuala Kubu Baharu

PN yakin mampu tawan DUN Kuala Kubu Baharu

CYBERJAYA: Perikatan Nasional (PN) meyakini bahawa parti itu mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang, susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, keyakinan itu dibantu dengan komposisi pengundi Melayu seramai 51 peratus, yang dianggap cukup mesra dengan PN.

Bukan itu sahaja, malah katanya, kepercayaan yang tinggi anak-anak muda terutama golongan Undi 18 dilihat cukup dekat dengan teknologi, sekali gus membuatkan mereka mudah terdedah dengan info-info untuk dibandingkan dan akhirnya cenderung memilih PN.

“Buktinya, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos 2023, DAP hanya mendapat tambahan 761 undi berbanding pilihan raya sebelumnya.

“Manakala PN menerima pertambahan sebanyak 7,437 undi (Pilihan Raya Umum ke-14 bertanding atas tiket PAS),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, kelebihan pertambahan undi lebih 10 kali ganda itu memberi isyarat jelas bahawa, gelombang rakyat sedang mara bersama PN.

“Sudah pasti gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional kepanasan dengan fakta-fakta sebegini.

“Justeru, tanpa mengira siapa pun calon PN yang bakal diletakkan, seluruh Pemuda PN Selangor sudah bersedia menghadapi pesta demokrasi di Kuala Kubu Bharu kelak,” tambahnya.

Kee Hiong, 58, yang menjadi ADUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 meninggal dunia Isnin lalu selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Author

Pilihan Editor